MENCARI KEHIDUPAN DARI SUATU KEMATIAN

Sunday, February 22, 2009

Puteri-puteri Islam sejati! Srikandi Iman Harapan! Tangan kalian gagah menggegar dunia!




Wahai seluruh puteri Islam.
Sama-sama kita tumpukan seluruh harapan beserta pergantungan kepada Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Yang maha mengampuni dosa dan menerima taubat lagi sangat keras hukumanNya. Hanya kepadaNya kembali semua makhluk.








Renung dan fahami maksud firman Allah dalam surah Al-Anfaal, ayat 60;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka, kekuatan apa saja yang kamu sanggupi, yang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang yang selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya”.
Kekuatan yang dimaksudkan bukanlah hanya kekuatan senjata, malahan yang utama adalah kekuatan aqidah, kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan ekonomi dan harta juga yang terpenting kekuatan kesatuan hati sesama Muslim. Melengkapkan setiap diri muslim mukmin dengan semua kekuatan tersebut bererti kita juga mengumpul bekalan untuk digunakan sepanjang hayat. Dengan ini, secara langsung kita mempersiapkan bekalan jihad. Jihad itu sendiri merupakan satu sumber bekalan yang penting sepanjang hayat. Dengannya setiap muslim hidup di dalam keadaan sentiasa bersiap sedia mematuhi perintah dan arahan. Jihad mengangkat barisan mujahid kepada satu darjat yang tinggi. Mengangkat dari segala bentuk kelemahan, kedukacitaan, kemalasan dan berbagai tipu daya dunia serta desakan nafsu.
Semangat jihad yang diterapkan kepada setiap muslim akan membentuk disiplin yang tinggi, antaranya:
1. Bersegera tanpa ragu-ragu menyahut perintah menegakkan kebenaran serta mematahkan kebatilan. Serentak dengan menghindari rasa gentar menghadapi sebarang halangan dan rintangan.
2. Memiliki niat yang bersih dan ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah dalam menegakkan kalimah kebenaran Islam.
3. Rela berkorban tenaga dan jiwa raga untuk menegakkan kebenaran agama Allah demi kebahagian hidup insan dan kemakmuran alam.
4. Bersungguh-sungguh menepis bisikan syaitan dan desakan nafsu yang cuba menghalangi seruan jihad. Sentiasa menguatkan azam dengan meletakkan setinggi-tinggi tawakkal kepada Allah.
5. Sentiasa merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran yang menekankan tuntutan jihad serta janji-janji syurga Allah di akhirat kelak. Juga sentiasa berdoa memohon pertolongan serta kekuatan dari Allah.
6. Sentiasa memohon keampunan dari Allah terhadap apa jua dosa, serta memelihara diri dari melakukan sebarang maksiat. Dosa dan maksiat akan menghalangi golongan pejuang dari beroleh kemenangan.
7. Kesanggupan menyahut seruan jihad menjadi bukti ukhwah dan kasih sayang yang tinggi terhadap sesama saudara muslim tanpa mengira suku bangsa dan warna kulit.
Puteri-puteri Islam Sejati!
Sentiasalah meyakini, sesungguhnya syarat kemenangan yang utama bagi pejuang agama Allah adalah dengan meletakkan seluruh agenda hidup semata menegakkan kebenaran. Juga menghadapi kematian dalam keadaan memperjuangkan kebenaran. Seandainya demikian prinsip hidup kita, Allah akan melontarkan rasa gerun, takut dan gentar ke dalam hati musuh-musuh Islam. Dengan itu mereka memandang hebat dan gentar menentang barisan pejuang Islam. Sejarah perjuangan telah membuktikan, angkatan yang kecil dapat mengalahkan angkatan yang besar dengan izin Allah.
Perhatikan dengan teliti kata-kata seorang pejuang Islam;
“Sesungguhnya zaman akan melahirkan peristiwa yang besar dan peluang akan terbuka untuk membuat kerja yang besar!. Sesungguhnya dunia menunggu seruan kebenaran dari kamu supaya membebaskan bumi ini dari segala penderitaan yang mencengkam. Kini tiba giliran kamu memimpin dan membimbing tangan manusia. Dan hari-hari kemenangan itu akan diberi mengikut kesungguhan masing-masing dari kamu. Oleh itu bersedialah dan bekerjalah sekarang kerana dengan bertangguh-tangguh ke hari esok hanya akan melemahkan kamu”.
Justru itu puteri-puteri harapan, setiap seorang dari kita mempunyai keupayaan dan peranan masing-masing dalam meniupkan semangat pejuangan demi tertegaknya kebenaran hakiki dan tertunainya hak asasi setiap manusia di bumi milik mereka. Dari kejauhan ini kita pohonkan hidayah Allah semoga kita tidak terkecuali dari barisan yang berjuang…
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seperti mereka satu bangunan yang tersusun kukuh”.(QS As-Saaf:4)
Sama-sama kita tangguhkan dengan doa;
“Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban seruanMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu. Jika ditakdirkan kematian, matikan pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu.Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini”.


Dari: FatimahAlzahrah

No comments:

Post a Comment

comment

DEMI MASA