MENCARI KEHIDUPAN DARI SUATU KEMATIAN

Wednesday, February 4, 2009

BN TAKUT PILIHANRAYA

Kenapa Mengelak Pilihanraya Kecil?

Semalam PM mengesahkan adanya ADUN PR dari Perak akan menyertai UMNO. Bilangan tidak disahkan.

Penyertaan mereka, kata Abdullah, kerana mereka percayakan UMNO/BN.

Kenyataan ini, membawa maksud BN boleh menerima konsep pertukaran kedudukan parti. Undang-undang lompat nampaknya bukan pilihan BN bila ada ADUN atau MP yang akan menyertai BN.

Petangnya, Speaker DUN Perak dikatakan menerima surat pengosongan kerusi dua ADUN yang disebut 'hilang' kerana 'dikurung' dan gagal dihubungi.

Berita pengosongan kerusi dua ADUN berkenaan segera menggemparkan negara. Jam sepuluh malam tadi, bekas ADUN Behrang tiba-tiba muncul dari 'kurungan' atau kehilangan misteri. Beliau tiba-tiba ada. Beliau menafikan bersetuju meletakkan jawatan ADUN. Beliau mengesahkan akan keluar dari PKR tetapi akan menjadi ADUN bebas.

Inikah salah seorang yang didakwa PM akan menyertai BN?

Dilihat dari gaya berita, Jamaluddin sebenarnya tidak berhasrat meletakan jawatan ADUN tetapi surat persetujuannya meletakkan jawatan ADUN yang telah ditandatangani sebelum ini mungkin telah digunakan untuk dimajukan kepada Speaker.

Maknanya, Jamaluddin bersetuju keluar parti (dalam proses menjayakan apa yang disebut Abdullah) tetapi tidak mengjangka langkahnya dihalang dengan tindakan pengosongan kerusi. Jamaluddin mungkin terkejut. Itu menyusahkan beliau. Pemimpin UMNO yang mungkin bersama merancang penyeberangan juga sudah tentu terkejut.

Kalau begitu, pilihanraya semula adalah sesuatu yang tidak mereka gemari. Mereka nak kerusi percuma dan tak mahu berhadapan semula dengan pengundi.

Kenapa? Samada Jamaluddin ada atau tidak ada masalah dengan pengundi Behrang tidak timbul. Tapi samada pengundi Behrang ada masalah atau tidak dengan beliau, boleh ditentukan melalui pilihanraya baru.

Tunggu apa reaksi UMNO?

Bagi Jamaluddin, pilihanraya semula bererti 'mati'? Jamaluddin tentu bertambah cemas menjelang perbicaraan kes beliau 10 Februari ini. Jika tiba-tiba kes beliau gugur, tentulah dunia mengesyaki Kerajaan BN sudah sedemikian teruk dan rule of law adalah menjadi mainan semata-mata. Kalau kes diteruskan, 'perniagaan' beliau ternyata amat tidak menguntungkan.

Samada pengosongan kerusi itu sah atau tidak adalah soalan yang akan ditentukan akhirnya. Tetapi, samada pemimpin UMNO menyokong atau tidak satu pilihanraya kecil diadakan adalah mustahak. Jika tidak, UMNO telah tersilap langkah dan pengumuman Abdullah telah menjejaskan strategi UMNO samada untuk mendapatkan ADUN percuma maupun stand UMNO/BN tentang lompat parti. Selepas ini, UMNO/BN tidak lagi boleh bercakap mengenai undang-undang anti lompat.

Abdullah yang pada mulanya telah ceria dengan bakal berita penyeberangan, sudah tentu tercabar kredibilitinya. Watak beliau kelihatan seperti Pak Kadok - pengumuman Pak Kadok mengundang malang.

Kesan seterusnya, jika UMNO/BN boleh menerima adanya ADUN PR menyeberangi UMNO/BN, UMNO/BN sepatutnya tidak lagi boleh menyekat ADUN dan MP mereka lebih ramai menyertai PR. Ini peluang terbuka kepada lebih ramai ADUN dan MP UMNO/BN membuat keputusan mereka dalam masa terdekat, lebih-lebih selepas patern pemilihan UMNO selesai akhir Mac ini.

Kalau akhbar The Star online pagi ini menulis Kerajaan Perak di ambang tumbang dengan isu dua Adun ini, kedudukan Kerajaan BN lebih-lebih lagi tergugat. Ia mungkin tumbang dengan polisi Kerajaan BN bahawa bertukar pemain diizinkan. Satu lagi penyeberangan, UMNO akan goyang.

No comments:

Post a Comment

comment

DEMI MASA